Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Sedia Pakej Internet Berkelajuan Tinggi Murah Untuk Sekolah

M Update, 20/05/2024 – Kerajaan akan menyediakan pakej khas langganan internet jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi untuk dilanggan sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai 1 Julai ini.

Pakej khas melalui pelaksanaan projek Point of Presence (PoP) itu akan menawarkan internet berkelajuan tinggi yang lebih stabil dengan harga lebih murah berbanding talian mudah alih. Perinciannya akan diumumkan kemudian tetapi mulai 1 Julai sekolah di bawah KPM akan dapat memilih pakej internet lebih laju, lebih murah. Ini dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Sehubungan itu pihaknya turut melihat satu perkara tambahan iaitu menyediakan akses point tambahan seperti wifi tambahan, kerana terdapat kawasan tertentu capaian internet terbabit hanya laju atau sampai sehingga ke bilik guru, pusat sumber sekolah atau makmal komputer sekolah sahaja.

Selain itu, pelaksanaan projek PoP sekolah luar bandar dan pedalaman seperti Sekolah Kebangsaan Balimbang dijadikan sebagai hab penyediaan infrastruktur jalur lebar gentian optik bagi membolehkan komuniti sekitar menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih stabil.

Sokongan infrastruktur jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi ini akan dapat meningkatkan proses pembelajaran di sekolah dengan lebih efektif melalui capaian kepada maklumat dan sumber rujukan yang luas bagi membolehkan ilmu pengetahuan lebih mudah dikongsi serta dipraktikkan.

Inisiatif ini juga akan memberi peluang kepada peningkatan ekonomi digital bagi masyarakat luar bandar, pelbagai urusan termasuk perniagaan di rumah secara dalam talian boleh dilaksanakan dengan adanya capaian rangkaian Internet yang lebih stabil, berkualiti dan menyeluruh.

Diharapkan infrastruktur telekomunikasi yang disediakan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat khususnya di Sabah untuk meningkatkan taraf hidup, melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran serta menerokai gaya hidup baharu yang lebih berkualiti.