Input your search keywords and press Enter.

PM Ucap Tahniah Kepada Ireland, Norway, Sepanyol Kerana Iktiraf Negara Palestin

Dari kiri, Perdana Menteri Ireland, Simon Harris, Presiden Sepanyol, Pedro Sanchez dan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store Foto: CNN

M Update, 24/05/2024 – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada kerajaan Ireland, Norway dan Sepanyol selepas ketiga-tiga negara itu akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Menurut Perdana Menteri, ketiga-tiga negara itu telah memilih untuk berada di landasan sejarah yang tepat serta berdiri tegak di jalur kemanusiaan dan prinsip keadilan.

Niat murni mereka ini adalah bukti bahawa mereka memperakui hak rakyat Palestin kepada prinsip kedaulatan, maruah dan dalam menentukan nasib dan masa depan sendiri.

“Detik bersejarah ini menggerakkan dunia untuk lebih cepat mencapai dan memperteguh keamanan di benua Timur Tengah,” kata beliau dalam hantaran di Facebook, pada Jumaat.

Semalam beberapa media antarabangsa melaporkan bahawa ketiga-tiga negara itu membuat pengumuman akan mengiktiraf negara Palestin secara rasmi mulai 28 Mei. 

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menyeru negara-negara yang masih belum membuat keputusan serupa untuk memahami fakta bahawa dunia semakin celik kepada aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin.