Input your search keywords and press Enter.

Subsidi Diesel: Tarik Lesen, Jika Sengaja Naik Harga Tambang Bas Sekolah

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 14/06/2024 – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran kepada mana-mana pihak yang sengaja menaikkan harga barangan atau perkhidmatan akan dikenakan tindakan tegas termasuk membatalkan lesen mereka. Ini memandangkan mereka telah menerima subsidi diesel menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS),

Perdana Menteri berkata, tindakan terbabit harus diambil kerana penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Sebenarnya ingat kita dalam Jemaah Menteri senang nak lakukan, tak ada hati perut, tak peduli orang susah, naikkan harga…tidak.

“Saya sendiri berpuluh kali bermesyuarat supaya jangan terbeban, maka nelayan dikecualikan, maka subsidi diteruskan untuk nelayan, pekebun kecil, bas sekolah.

“Bas sekolah naik (harga perkhidmatan), tapi kita bagi amaran, kamu diberi subsidi dan kamu naik, kamu jaga, saya tak tahu orang lain, kalau saya, jika kamu naik juga dalam keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu, batalkan syarikat (kamu),” katanya.

Tambahnya, pengusaha perlu berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jika belum menerima ‘fleet card’ di bawah SKDS. Menerusi SKDS, fleet card itu membolehkan pengusaha bas sekolah terus menikmati kuota 1,800 liter diesel sebulan dengan harga RM1.88 seliter.

Beliau mengakui penyasaran subsidi diesel bukan penyelesaian sempurna dan mungkin mendatangkan sedikit sebanyak masalah dalam pelaksanaannya, Perdana Menteri meminta rakyat untuk berunding bagi memperbetulkan perkara itu.