Suspek Pemandu Mabuk Didakwa Hari Ini

M Update, 01/04/2026 – Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kes kemalangan maut di Jalan Raya Barat, Klang, hadir ke Mahkamah Majistret hari ini bagi menghadapi pertuduhan.
Suspek dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dengan kawalan ketat anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, dalam keadaan bergari, dan dijangka didakwa di hadapan Majistret A. Karthiyayini. Dia dibawa ke mahkamah sehari sebelum tempoh reman empat hari berakhir.
Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda sehingga RM100,000 serta hilang kelayakan memandu sekurang-kurangnya 10 tahun.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi Ahad lalu, mangsa, seorang penunggang motosikal berusia 30-an, maut di lokasi selepas dirempuh kenderaan suspek yang dipercayai dipandu laju dan memasuki laluan bertentangan. Suspek dilaporkan memotong beberapa kenderaan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa, menyebabkan mangsa tercampak ke sebuah Perodua Myvi.
Mangsa dikenal pasti sebagai Amirul Hafiz Omar, yang bekerja di gudang pada waktu siang dan sebagai penghantar makanan pada waktu malam. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh, Batu Kurau, Perak.
Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak, Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7; dan Nur Humaira, 2.
