M Update, 09/07/2024 – Menurut Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, berkata keadaan kesihatan fizikal, mental dan spiritual Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim, 22, akan terus dipantau sehingga beberapa hari lagi sebelum dibenarkan bercuti di kampungnya di Baling, Kedah.
Ini bagi memastikan tahap kesihatan anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang berpangkalan di Tanjung Kidurong, Bintulu itu berada dalam keadaan terbaik.
Pemeriksaan fizikal dan sesi kaunseling juga telah dibuat dan mendapati anggota ini berada dalam keadaan stabil. Walaupun bagaimanapun, kita masih memberi beberapa hari lagi untuk membuat pemantauan.
Beliau menyifatkan Muhammad Syafiq sebagai seorang yang periang dan mudah berkawan dengan sesiapa sahaja, Muhammad Hafizuddeain berkata, anggota itu yang menyertai Rejimen Sempadan pada 2021 masih mahu meneruskan perkhidmatannya di Sarawak.
Beliau turut berkata, Lembaga Siasatan akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat ‘foul play’ atau khianat dalam kejadian itu dan melihat dari sudut pelaksanaan bagi memperbaiki prosedur operasi pada masa akan datang.
Muhammad Hafizuddeain menyatakan ketika ditemu bual, Muhammad Syafiq berkata, dia hanya hilang selama dua hari sebelum berjaya menemukan tanda-tanda yang sengaja ditinggalkan oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Anggota itu hilang selama 19 hari sejak 18 Jun lalu di sempadan Malaysia-Brunei ketika menyertai Op Ukur di Limbang sebagai anggota pengiring.
Muhammad Syafiq ditemukan dalam keadaan selamat serta lengkap bersama peralatan dan senjata, namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi pada Sabtu selepas 17 hari operasi mencari dan menyelamatnya dilancarkan.