Input your search keywords and press Enter.

Guna Aplikasi Penjejak Dalam Telefon Pintar – KPN

M Update, 29/08/2024 – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyarankan orang ramai supaya menggunakan aplikasi penjejak dalam telefon bimbit bagi memantau pergerakan ahli keluarga.

“Sebagai ibu bapa, perlu tahu pergerakan anak-anak. Saya sendiri sebagai suami dan bapa juga memantau pergerakan mereka melalui aplikasi penjejak dalam telefon bimbit.

“Saya mengetahui segala pergerakan mereka walaupun saya sebagai Ketua Polis Negara,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, dengan Timbalan Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby, hari ini.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, belum ada keperluan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas walaupun banyak kes orang hilang dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Beliau menjelaskan ini kerana polis mengesan bukan semua laporan kes terbabit adalah kes orang hilang sebenarnya, sebaliknya ada yang lari dari rumah, termasuk disebabkan masalah keluarga.

“Justeru, tiada keperluan untuk menubuhkan pasukan khas walaupun banyak kes orang hilang dilaporkan. Ini memandangkan yang dilapor hilang itu bukannya (semua) hilang, sebaliknya ada yang lari dari rumah,” katanya.

Beliau sekali gus meminta orang ramai membuat laporan polis dengan segera sekiranya mendapati mana-mana ahli keluarga gagal dihubungi.

“Jika sebelum ini laporan polis hanya dibenarkan dibuat selepas 24 jam, namun kini tidak lagi. Buatlah laporan polis dengan segera jika mana-mana ahli keluarga dikesan hilang dan gagal dihubungi,” katanya. – BH