Input your search keywords and press Enter.

Mpox: 46 Kes Disahkan Negatif – Dr Dzulkefly

Foto Hiasan

M Update, 06/09/2024 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 46 kes yang disyaki virus cacar monyet atau mpox di Malaysia adalah negatif.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hingga kini, kes mpox di Malaysia kekal sembilan kes yang direkodkan pada akhir tahun lepas.

Beliau berkata, setakat ini, hampir 5.2 juta pengembara disaring di pintu masuk antarabangsa sejak 16 Ogos lepas.

“Kali terakhir kita berdepan dengan positif dalam varian clade II (sembilan kes) bukan clade I yang lebih ganas, pada Disember 2023,” katanya kepada pemberita pada Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap di Jalan Dhoby di sini malam tadi.

Beliau dalam pada itu berkata, saringan terhadap pengembara di semua pintu masuk sempadan negara termasuk di lapangan terbang bagi mengekang penularan penyakit mpox tidak akan mengakibatkan kelewatan pelepasan di pintu masuk negara.

“Kita akan terus pertingkatkan jagaan kita di pintu masuk darat, udara, laut dan lapangan terbang antarabangsa kita.

” … tidak (melewatkan pelepasan), kita lakukan (saringan) dalam bentuk mobile scanner, jadi saya tidak nampak apa-apa pun tergendala atau kelewatan dari sudut teknikal dan sebagainya,” katanya. – Bernama