M Update, 03/10/2024 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan hari kedua lawatan negara tiga hari beliau ke Pakistan dengan mengadakan pertemuan tertutup dengan rakan sejawatannya dari Pakistan Shehbaz Sharif di kediaman rasmi Perdana Menteri Pakistan hari ini.
Anwar dan Shehbaz dijangka membincangkan pelbagai isu melibatkan hubungan dua hala serta inisiatif untuk meningkatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang telah lama terjalin, sejak Malaysia mencapai kemerdekaannya pada 1957.
Pertemuan dengan Shehbaz dijangka berlangsung kira-kira 15 minit, sebelum kedua-dua pemimpin dan delegasi mereka mengadakan mesyuarat dua hala, yang akan menyaksikan pelbagai isu yang melibatkan kepentingan kedua-dua negara dibincangkan.
Antara yang dijangka menyertai mesyuarat dua hala itu ialah Menteri Luar, Datuk Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datuk Mohammad Azhar Mazlan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.
Anwar dan Shehbaz juga dijadual menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan (TDAP) serta MoU antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan mengenai pembangunan sektor digital.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya akan melancarkan himpunan karya terjemahan terpilih oleh penyair terkenal Pakistan Allama Muhammad Iqbal yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, dan buku MADANI Malaysia yang diterjemahkan ke bahasa Urdu.
Kuala Lumpur dan Islamabad telah menandatangani perjanjian Perkongsian Strategik pada 2019 dan negara Asia Selatan itu telah menjadi destinasi eksport ketiga terbesar Malaysia di Asia Selatan sejak 2016.
Kedua-dua negara juga telah menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Erat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) pada 2008, meliputi perdagangan barangan, pelaburan dan kerjasama teknikal. – Bernama