Input your search keywords and press Enter.

Syarat Program Peralihan Lesen Kelas B Dilonggarkan

M Update, 03/10/2024 – Syarat Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 kepada kelas B (motosikal berkuasa tinggi) yang bermula Selasa lepas dilonggarkan serta-merta ekoran keluhan orang ramai yang tidak layak menyertai program itu.

Satu daripada syarat untuk program itu ialah individu mesti memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif selama sekurang-kurangnya 10 tahun berturut-turut.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, perkara itu dibincangkan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli dan beliau bersetuju memudahkan lagi syarat tersebut.

Justeru itu, syarat itu dilonggarkan serta-merta iaitu tempoh LLM hanya perlu aktif dan mencukupi 10 tahun ke atas dan tidak perlu secara 10 tahun berturut-turut (diumumkan sebelum ini).

Antara sebab yang dibangkitkan orang ramai adalah munasabah iaitu lesen tidak dapat diperbaharui ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020. Sepanjang tempoh PKP itu kerajaan memberikan pengecualian kepada keperluan memperbaharui lesen memandu bagi semua pemegang lesen.

Bagaimanapun, syarat lain kekal dan tidak akan dikompromi termasuk pemohon perlu bebas daripada sebarang senarai hitam dan tunggakan saman.

Orang ramai boleh ambil program itu di institut memandu yang terlibat.