Input your search keywords and press Enter.

Program Rehabilitasi Bantu Pulih Akidah, Kelangsungan Hidup Ahli GISBH

Foto Hiasan

M Update, 15/10/2024 – Kerajaan menawarkan Program Rehabilitasi secara sukarela kepada semua ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang memerlukan bimbingan akidah dan kelangsungan hidup selepas tindakan penguatkuasaan terhadap organisasi berkenaan.

Program selama tempoh tiga bulan atau 90 hari itu terbuka kepada semua ahli GISBH termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak di semua peringkat umur.

Terdapat tiga faktor utama program ini iaitu melakukan proses pemulihan ahli-ahli GISBH selepas tindakan penguatkuasaan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Faktor kedua, kerajaan cenderung untuk melihat mereka yang terbabit dalam program pemulihan ini sebagai mangsa dan bukannya sebagai pesalah dan pendekatan ini selaras dengan prinsip ihsan yang menjadi salah satu prinsip asas Kerajaan Madani.

Faktor ketiga, MKN diberi tanggungjawab sebagai penyelaras program pemulihan ini kerana MKN merupakan agensi pusat yang bertanggungjawab mengenai isu-isu keselamatan. Sebagai agensi pusat adalah lebih mudah bagi MKN untuk menggembleng tenaga seluruh jentera kerajaan dalam proses pemulihan ahli-ahli GISBH ini.

Selain itu, setiap langkah yang dilakukan kerajaan adalah berlandaskan maklumat perkembangan siasatan yang diberikan secara telus oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin berkata, Kerajaan Madani berpandangan mereka ini tidak seharusnya disisihkan tetapi diberikan bimbingan dan sokongan penuh daripada kerajaan dan masyarakat untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Nurshirwan turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan strategik MKN yang bekerja keras secara telus dalam menjayakan program seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.