Input your search keywords and press Enter.

SOSMA Diguna Dalam Kes GISBH Kerana Jenayah Serius

M Update, 16/10/2024 – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) digunakan dalam kes GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) kerana ia melibatkan jenayah serius seperti pemerdagangan orang.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah tahanan yang ramai juga menyebabkan akta itu diguna pakai bagi melengkapkan siasatan.

“Kita menggunakan kaedah biasa namun saiz tangkapan begitu ramai. Kita akan minta reman, kemudian mahkamah akan memberikan tujuh hari, kita belum selesai, kita minta tambahan, mahkamah beri tujuh hari, ada yang beri lima hari, kita minta tambahan lagi, ada mahkamah bagi tiga hari dan ini tidak sempat habis kerana jumlah yang ramai.

“Sebab itu kita lihat ada elemen seperti ia dilakukan secara berkumpulan melibatkan jenayah dianggap serius… kalau pemerdagangan orang itu seriuslah, kemudian ia memberi keuntungan dari segi material, kewangan, kuasa atau pengaruh.

“Jadi ia sesuai untuk kita gunakan Seksyen 130V Kanun Keseksaan bagi membolehkan selepas tamat tempoh reman, kita guna pakai Sosma,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan sesi Penerangan Menteri mengenai isu GISBH di Dewan Rakyat pada Selasa.

Pada sesi sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, individu yang mendakwa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengugut wanita itu menandatangani dokumen kosong ketika cuba mendapatkan kembali anak beliau sebenarnya keliru dengan maksud yang cuba disampaikan oleh pegawai pengendali kes tersebut.

Beliau berkata, dokumen yang dikemukakan kepada wanita itu ialah pemakluman mengenai kanak-kanak yang diselamatkan berdasarkan prosedur pemakluman atau pemberitahuan selari dengan Seksyen 18(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Sebenarnya dalam kes ini, pegawai JKM menyerahkan dokumen untuk memaklumkan pemberitahuan berkenaan. Dokumen itu adalah prosedur pentadbirannya sendiri, tak perlu ada dokumen pun tak mengapa,” katanya. – Bernama