Input your search keywords and press Enter.

Gaji Minimum Bukan Gaji Permulaan Untuk Semua Pekerja

M Update, 22/10/2024 – Kerajaan mengingatkan majikan supaya tidak menjadikan kadar gaji minimum yang baharu sebagai gaji permulaan kepada semua pekerja termasuk siswazah.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 Jumaat lalu, adalah gaji untuk pekerja asas dengan kelayakan akademik dan kemahiran rendah termasuk pekerja sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

“Jadi kita sarankan supaya (pekerja) diberikan gaji setimpal berdasarkan kemahiran atau kelulusan akademik yang ada. Jangan jadikan gaji minimum sebagai penanda aras kepada gaji permulaan kepada semua pekerja.

“Ini (penyelarasan gaji minimum) adalah strategi untuk pekerja paling asas iaitu 4.35 juta pekerja yang masih mendapat gaji di bawah RM1,700.

“Saranan pemberian gaji selaras dengan kelayakan akademik, peranan kerja dan kemahiran ini untuk kebaikan syarikat juga sebab jika tak diberi gaji setimpal, akan berlaku kes seperti aliran keluar bakat kita dan sebagainya. Kita (majikan) juga tidak dapat bakat dan tenaga kerja yang baik,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kadar gaji minimum dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari depan dan 1 Ogos 2025 kepada majikan atau usahawan kecil yang mempunyai lima orang pekerja ke bawah.

Sim berkata, tempoh penyelarasan gaji yang diberikan itu munasabah dan mencukupi serta majikan diingatkan mematuhi arahan ditetapkan.

Beliau juga menggesa mana-mana pihak terutama pekerja yang mengetahui terdapat pelanggaran undang-undang berkaitan perburuhan termasuk gaji minimum supaya melaporkan kepada Kementerian Sumber Manusia terutama Jabatan Tenaga Kerja supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Kenaikan kadar gaji minimum bukan mahu membebankan majikan, namun ia antara lain memberikan pekerja kuasa membeli yang lebih tinggi, seterusnya membawa limpahan ekonomi kepada usahawan dan syarikat kecil setempat. – Bernama