Input your search keywords and press Enter.

Pas MyTourist Dilancar Mudahkan Pelancong Akses Pengangkutan Awam

Foto: Bernama

M Update, 11/11/2024 – Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) melalui Rapid KL pada Ahad melancarkan pas MyTourist yang direka khas untuk memudahkan pelancong domestik dan antarabangsa menikmati pengangkutan awam di ibu kota.

Pelancaran pas berkenaan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Inisiatif ini merupakan langkah bijak dalam menyokong pertumbuhan industri pelancongan yang menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan negara.

Diharapkan agar inisiatif ini mampu meningkatkan jumlah ketibaan pelancong luar, sekali gus menyokong usaha kerajaan untuk mencapai peningkatan sektor pelancongan yang mampan.

Pas MyTourist menawarkan perjalanan tanpa had melalui perkhidmatan rel dan bas kendalian Rapid KL, yang memudahkan pelancong tempatan dan antarabangsa untuk meneroka pelbagai destinasi ikonik di sekitar Kuala Lumpur seperti Muzium Negara, Bukit Bintang, Dataran Merdeka, serta kawasan budaya dan komersial utama lain.

Selain kemudahan perjalanan tanpa had, pas MyTourist turut menawarkan faedah tambahan menarik termasuk diskaun di beberapa lokasi pelancongan, rangkaian makanan dan minuman, pusat beli-belah, dan taman tema terpilih seperti Petrosains, Menara Berkembar Petronas, Sunway Lagoon, dan Menara Kuala Lumpur.

Sementara itu, warganegara Malaysia boleh mendapatkan pas MyTourist dengan harga RM20 untuk sehari, RM30 untuk dua hari, dan RM40 untuk tiga hari, manakala bukan warganegara dikenakan harga dua kali ganda daripada kadar tersebut.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke , inisiatif ini menggalakkan lebih ramai orang untuk menggunakan pengangkutan awam ketika bersiar-siar di sekitar ibu kota.

Kelebihan pas MyTourist ini juga termasuk kerjasama strategik dengan lebih 30 syarikat lain, termasuk restoran dan kedai yang sering dikunjungi pelancong. Dengan adanya pas ini, selain perjalanan tanpa had, pengguna juga boleh menikmati diskaun di kedai-kedai yang bekerjasama dengan Rapid KL.