M Update, 11/11/2024 – Trak pertahanan awam Global Peace Mission (GPM) Malaysia di Gaza yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia dilaporkan musnah sepenuhnya akibat serangan tentera Israel.
Perkembangan tersebut dikongsi oleh GPM Malaysia dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrir Azfar Saleh, GPM Malaysia menerima gambar daripada jurugambar bebas, Majdi Fathi, yang merakam kemusnahan trak tersebut di Gaza.
Trak ini telah menjadi sumber penting untuk menjangkau komuniti yang memerlukan, menyediakan sumber dan bantuan yang amat diperlukan, terutamanya dalam waktu peperangan yang semakin memuncak.
“Trak ini berperanan sebagai talian hayat dalam menyampaikan bantuan kecemasan dan sokongan kritikal kepada orang awam,” kata Syahrir Azfar dalam kenyataan pada Isnin.
Susulan itu, beliau berkata, GPM Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap aset kemanusiaan yang didedikasikan untuk membantu orang awam.
Tegasnya, serangan berkenaan disifatkan sebagai satu pelanggaran terhadap prinsip kemanusiaan antarabangsa.
“Kenderaan ini bukan sahaja simbol solidariti daripada rakyat Malaysia, tetapi juga aset penting dalam meringankan penderitaan orang awam di Gaza, memastikan mereka mempunyai akses kepada bantuan kecemasan dan rawatan perubatan,” katanya lagi.
Dalam masa sama, GPM Malaysia merakamkan penghargaan kepada penyumbang yang menjayakan projek berkenaan serta memperkukuhkan usaha pihaknya dalam menyampaikan bantuan menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.
Jelas Syahrir Azfar, sokongan rakyat Malaysia menjadi nadi dalam pelaksanaan misi kemanusiaan GPM Malaysia di Gaza dan pihaknya amat menghargai sokongan yang diberikan.
“Sebagai tindak balas terhadap kehilangan ini, GPM Malaysia akan kekal teguh dalam komitmen membantu Gaza.
“Kami sedang menyusun strategi untuk memulihkan perkhidmatan awam yang penting dan akan terus memperjuangkan hak-hak kemanusiaan serta keselamatan orang awam di Gaza,” ujar beliau. – Awani