Input your search keywords and press Enter.

Hanya Tiga Pintu Masuk Rasmi Di Sempadan Kelantan – Thailand

M Update, 20/11/2024 – Pasukan Gerakan Am (PGA) memasang papan tanda di empat pangkalan haram di Rantau Panjang dan di Tumpat bagi mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak menyeberang ke Thailand secara haram.

Papan tanda itu diletakkan di pangkalan haram yang sering digunakan rakyat negara ini untuk menyeberang ke Thailand. Tiga daripada papan tanda itu diletakkan di pangkalan haram MCA, Syed Agil dan Jitong manakala satu lagi di Kuala Tanjung di Tumpat.

Langkah ini juga selaras dengan arahan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat bahawa mereka yang didapati menyeberang ke Thailand secara haram akan ditahan dan dikenakan denda sehingga RM10,000 berkuat kuasa 1 Disember depan.

“Papan tanda itu menyatakan sesiapa yang ditangkap melintas ke Thailand melalui laluan haram boleh ditangkap dan dikenakan denda sehingga RM10,000 kerana melanggar Akta Imigresen. Tindakan sama juga boleh diambil terhadap warga asing yang memasuki Malaysia melalui pangkalan haram yang terletak di sepanjang sungai Golok,”.

Sehubungan itu, pintu masuk rasmi di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan hanya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya lagi, selain tiga ICQS itu yang lain dianggap ‘laluan tikus’ dan menggunakan laluan berkenaan untuk keluar atau masuk ke negara ini adalah menyalahi undang-undang.

Anggota PGA juga diminta meningkatkan pemeriksaan mereka di pangkalan haram untuk menangkap mereka yang melanggar peraturan.