Input your search keywords and press Enter.

KPM Sedia Pertimbang Kurangkan Tempoh Pertukaran Guru

M Update, 05/12/2024 – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, isu kebajikan guru sentiasa menjadi perhatian dan keutamaan kementerian itu.

Oleh kerana itu, Kementerian Pendidikan (KPM) sedia mempertimbang permohonan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) untuk mengurangkan tempoh tiga tahun pertama perkhidmatan sebagai syarat permohonan pertukaran guru.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon dilaporkan telah mengemukakan permohonan kepada KPM bulan lepas untuk mengurangkan tempoh tiga tahun pertama perkhidmatan itu bagi mengelak kisah seperti Cikgu Din berulang.

Pada masa ini KPM menetapkan guru tidak dibenarkan memohon pertukaran dalam tempoh tiga tahun pertama perkhidmatan.

Pada Oktober lepas, Cikgu Din atau nama sebenar Mohamad Izzudin Izhar menerusi perkongsian warganet di media sosial berharap dapat ditukarkan dari Sarawak ke Semenanjung untuk menemani isterinya yang sakit.

Isteri Cikgu Din, yang menghidap barah tulang rawan tahap empat meninggal dunia pada Selasa.