M Update, 14/01/2025 – Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan diagihkan mulai esok, membabitkan peruntukan RM13 bilion seperti yang diluluskan kerajaan menerusi Belanjawan 2025.
Bantuan SARA yang diagihkan bermula esok akan dibayar menerusi penggunaan MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar.
Mulai tahun ini juga, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak berbanding hanya negeri di Semenanjung pada tahun 2024.
kadar bantuan SARA ditingkatkan dengan isi rumah miskin dan miskin tegar di dalam rekod eKasih bakal menerima RM2,100 untuk tahun 2025, berbanding RM1,200 pada tahun lalu.
Bantuan SARA sebanyak RM100 sebulan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima bagi bulan Januari hingga Mac 2025, manakala mulai April ini, kadar bantuan ini akan ditingkatkan kepada RM200 sebulan.
“Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana mekanisme tersebut memastikan golongan miskin menerima manfaatnya dalam bentuk barang asas termasuk makanan asas.
“Menjunjung prinsip kesaksamaan dan nilai manusiawi yang menghidupkan kerangka Ekonomi MADANI, penyusunan semula kewangan Kerajaan ini memastikan hasilnya dapat memanfaatkan rakyat terbanyak.
Kerajaan MADANI komited menggunakan teknologi digital mutakhir bagi memastikan penyaluran bantuan dilakukan dengan kaedah yang mudah difahami dan digunakan oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan MOF itu.
Di bawah program SARA, penerima manfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad masing-masing di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 1,200 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun 2024.
Penerima SARA juga boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barang keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada barang makanan asas.