Input your search keywords and press Enter.

Sebarang Kenaikan Tarif Elektrik Tak Akan Bebankan Komuniti Perniagaan – PM

M Update, 04/02/2025 – Kerajaan memberi jaminan kepada pemain industri bahawa sebarang kenaikan tarif elektrik pada separuh kedua tahun ini tidak akan membebankan atau merugikan komuniti perniagaan.

Menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan bahawa isi rumah berpendapatan rendah akan terus tidak terjejas oleh semakan tarif yang dijadualkan nanti.

Tarif asas elektrik di Malaysia ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah kerangka Kawalselia Berasaskan Insentif (IBR) dan disemak setiap tiga tahun.

Selain tarif asas, katanya, terdapat mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) yang disemak setiap enam bulan. ICPT melaraskan kadar elektrik berdasarkan perubahan sebenar dalam kos bahan api.

Pada Januari 2025, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan kenaikan 14.2 peratus dalam tarif asas bagi tempoh 2025 hingga 2027.

Kerajaan bagaimanapun mengekalkan kadar tarif elektrik sebenar untuk industri dan isi rumah bagi separuh pertama 2025, iaitu tiada perubahan pada kadar yang dikenakan.

Semakan tarif seterusnya akan dilakukan pada Julai 2025.