M Update, 07/02/2025 – Seorang pesara kerugian RM70,000 selepas menjadi mangsa sindiket ‘phone scam’ secara bersemuka yang menyamar sebagai pegawai polis di Sabah pada 15 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pada 15 Januari lalu, mangsa merupakan wanita berusia 61 tahun itu dihubungi suspek mendakwa nombor telefon mangsa didaftarkan atas satu akaun Shopee yang menjual produk kecantikan tidak berdaftar.
Panggilan wanita itu kemudiannya disambungkan kepada pihak ‘polis’ yang mendakwa mangsa mempunyai rekod jenayah serta terlibat aktiviti haram dan kesemua akaun pengadu akan dibekukan.
Bagi mengelakkan wang mangsa dari dibekukan, mangsa dicadangkan untuk memindahkan semua wangnya ke akaun bank yang diberikan oleh sindiket.
Suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dengan memakai pelitup muka telah datang ke rumah mangsa pada 16 Januari lalu dan meminta mangsa menyerahkan kad ATM Bank Islam bagi tujuan memindahkan wang dari akaun tersebut ke akaun bank yang selamat.
Suspek kemudiannya telah kembali ke rumah mangsa pada 18 Januari dan memulangkan kad ATM Bank Islam dan meminta mangsa untuk menyerahkan kad Maybank miliknya pula untuk tujuan yang sama.
Pada 20 Januari lepas, mangsa telah dihubungi dan diminta untuk memindahkan kesemua wang dari akaun Amanah Saham Berhad (ASB) miliknya ke akaun Maybank miliknya.
Namun mangsa mula curiga dan bercerita perkara tersebut kepada keluarganya yang kemudian menyedarkannya bahawa beliau telah ditipu,” katanya.
Beliau berkata laporan diterima di Kota Kinabalu, Sabah pada 21 Januari 2025 dan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan.