![](https://m-update.com/wp-content/uploads/2024/07/PMANWAR-1.jpg)
M Update, 10/02/2025 – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan lesen bazar Ramadan yang dikeluarkan sekiranya mendapati ada peniaga memindahkan lesen mereka kepada pihak lain.
Perdana Menteri menegaskan, isu ‘memindahkan’ lesen itu antara aspek tatakelola yang harus diberi penekanan dan memerlukan penguatkuasaan lebih baik.
Bayangkan orang nak berniaga bulan Ramadan untuk mendapat hasil dan upah yang lebih tinggi, untuk persiapan keluarga, itu masih ada (isu tatakelola yang berlaku).
Saya ucapkan terima kasih kepada DBKL kerana kadar (bayaran lesen) itu dikurangkan, tapi kena pastikan siapa yang dapat lesen… dia kerja, kalau dia pindahkan lesen itu, batal segera,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan DBKL akan menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu negara bermula tahun ini bagi memastikan penjaja mendapat harga sewaan tapak berpatutan selain pengurusan lebih baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, DBKL juga giat meneliti aspek pemberian lesen bazar Ramadan di ibu negara tahun ini bagi memastikan peniaga yang layak dan ingin berniaga mendapat lesen untuk beroperasi di bazar berkenaan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, langkah tegas yang diambil Dr Zaliha dan DBKL dalam isu terbabit adalah contoh yang baik.
Perdana Menteri berkata, beliau juga menyokong langkah dan tindakan yang diambil Dr Zaliha serta DBKL dalam penguatkuasaan terhadap kedai haram serta kehadiran pendatang asing yang membugar di kawasan perniagaan besar sejak sekian lama. – Harian Metro