Input your search keywords and press Enter.

Lapor Jika Ada Agamawan Lakukan Jenayah, Langgar Undang-Undang

M Update, 17/03/2025 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan bahawa sebarang tauliah mengajar yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam negeri wajar ditarik sekiranya individu terbabit disabitkan dengan kesalahan jenayah.

Beliau turut menyeru masyarakat agar membuat laporan polis sekiranya mengetahui sebarang kesalahan yang melibatkan agamawan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Golongan agamawan seharusnya menjadi contoh teladan kepada masyarakat dan tidak menyalahgunakan ilmu serta kepercayaan yang diberikan kepada mereka.

Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mendakwa dipukul oleh seorang lelaki akibat perselisihan faham ketika mereka sedang memandu di Saujana Impian. Akibat kejadian itu, remaja berkenaan mengalami retak pada tulang batang hidung dan mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.

Siasatan mendapati remaja terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan telah dikenakan saman trafik, manakala lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sekitar Kajang pada jam 9.50 malam hari yang sama sebelum direman sehari.

Susulan kejadian itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diarahkan untuk menyemak sama ada individu berkenaan memiliki tauliah mengajar daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).