Input your search keywords and press Enter.

Permohonan Program TVET Sepenuh Masa Kini Dibuka

M Update, 16/04/2025 – Permohonan kemasukan ke program-program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi kursus sepenuh masa ambilan Perdana Julai 2025 kini dibuka mulai 14 April hingga 15 Jun 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, permohonan terbabit boleh dibuat melalui platform UP_TVET.

Beliau menjelaskan, UP_TVET merupakan satu sistem permohonan berpusat yang dibangunkan sebagai inisiatif Kerajaan Madani untuk menyatukan akses kepada pelbagai institusi TVET awam dan swasta di seluruh negara.

Sistem ini diwujudkan bukan sahaja untuk memudahkan proses permohonan, tetapi juga bagi memastikan program ditawarkan benar-benar relevan dan selari dengan keperluan semasa dan masa hadapan industri.

Terdapat pelbagai program ditawarkan dalam UP_TVET meliputi bidang pembuatan, pertanian moden, pembinaan, perkhidmatan, teknologi maklumat, kesihatan dan sebagainya.

Ahmad Zahid menegaskan, TVET ketika ini bukan lagi pilihan alternatif, sebaliknya telah menjadi landasan utama kepada kerjaya yang kukuh, bergaji kompetitif, dan berpotensi tinggi dalam pelbagai sektor strategik seperti automasi, teknologi hijau, dan kecerdasan buatan (AI).

Kerajaan Madani komited untuk memperluas akses pendidikan TVET demi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di peringkat global.

Untuk maklumat lanjut dan permohonan, orang ramai boleh melayari https://mohon.tvet.gov.my

Semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta individu yang berminat untuk membina kerjaya dalam bidang kemahiran diseru agar merebut peluang ini.