
M Update, 30/04/2025 – Kawalan harga dan subsidi telur ayam akan ditamatkan secara berfasa bermula esok, sebagai langkah penyasaran semula subsidi di bawah inisiatif Kerajaan Madani.
Kadar subsidi telur ayam akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji bermula esok manakala pemberian subsidi sepenuhnya akan ditamatkan pada 1 Ogos depan.
Keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira komitmen industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin, susulan kos pengeluaran yang telah stabil menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan.
Ini terbukti apabila bekalan telur semasa musim perayaan Aidilfitri lalu adalah mencukupi dengan harga yang kompetitif.
Tambah kementerian, sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion dalam bentuk subsidi kepada industri pengeluar telur bagi menampung peningkatan kos pengeluaran susulan pandemik Covid-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Rusia yang menyebabkan harga import jagung dan soya melonjak.
Kerajaan juga mengambil kira bahawa pemberian subsidi dan kawalan harga terlalu lama adalah tidak mampan untuk kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara,” jelasnya.
Rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” jelas kenyataan itu.
Untuk rekod, subsidi telur ayam diperkenalkan pada Februari 2022 bagi menstabilkan harga telur ketika berlaku kekurangan bekalan. Pada Oktober tahun lalu, Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan bahawa pemberian subsidi akan dikaji semula sekiranya bekalan telur kembali stabil. – Sinar Harian