Input your search keywords and press Enter.

TVET Terbuka Untuk Semua Walaupun Tiada Sijil Akademik

M Update, 19/05/2025 – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada kelulusan akademik bukanlah penghalang untuk mana-mana golongan belia menyertai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), terutama mereka yang meminati bidang terbabit.

Beliau menjelaskan bahawa dengan memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 selepas tamat mengikuti TVET, belia mampu meraih gaji minimum RM2,500 sebulan sebagaimana ditetapkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan hingga awal bulan ini, sebanyak 106,000 permohonan diterima daripada belia untuk mengikuti kursus TVET di seluruh negara, selepas ia dipusatkan melalui Unit Pengambilan TVET (UPTVET) mulai April lalu.

Bahkan, beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, jumlah itu dijangka meningkat kepada sekurang-kurang 150,000 permohonan menjelang akhir Jun depan.

Belia terutama Gen Z dan Gen Alpha, harus merebut segala peluang pendidikan yang ditawarkan kerajaan sebelum mereka mencapai usia 40 tahun. Kerajaan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, amat prihatin mengenai pendidikan tidak konvensional untuk golongan belia.

TVET turut ditawarkan kepada golongan belia terbabit dalam sektor perkhidmatan e-hailing dan p-hailing.

Walaupun tidak memiliki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) atau STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), anda boleh memperoleh gaji minimum RM2,500 jika mempunyai SKM Tahap 3. Sekiranya anda mempunyai SKM Tahap 4 atau 5, ia bersamaan dengan taraf mempunyai diploma walaupun tanpa melalui sistem pendidikan konvensional,” katanya.

Malah, beliau berkata, golongan belia memiliki SKM Tahap 5 boleh melanjutkan pendidikan ke peringkat ijazah di enam universiti dalam negara.