Input your search keywords and press Enter.

Wira Tak Didendang: Lipan Bara Bantu Jemaah Haji Malaysia

Foto: Bernama

M Update, 22/05/2025 – Jemaah haji, terutama warga emas yang tersasar dan lupa arah jalan pulang ke bangunan penginapan masing-masing, tidak perlu risau dengan kehadiran Skuad Lipan Bara yang akan membantu mereka di sekitar Masjidil Haram.

Bertopi merah, berbaju-T warna kelabu dan berseluar hitam, kelibat anggota unit peronda itu mudah dikenali dalam lautan jemaah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia.

Pasukan khas berkenaan bukan sekadar menjadi pemandu arah kepada jemaah haji Malaysia yang tersesat, malah turut berperanan penting dalam menangani kecemasan kesihatan dan kebajikan jemaah di Tanah Suci.

Pasukan Lipan Bara terdiri ini daripada anggota Polis Bantuan Tabung Haji dari seluruh negara yang ditugaskan 24 jam sehari sepanjang musim haji, terutama ketika kemuncak ketibaan jemaah.

Mereka ditempatkan di sekitar Masjidil Haram, khususnya di pintu Marwah yang sering menjadi kawasan jemaah keliru arah untuk pulang ke bangunan penginapan.

Menurut Pengurus Khidmat Pelanggan Abraj Al Janadriyah, Zaini Rashid, seramai 15 anggota ditugaskan sebagai anggota Lipan Bara tahun ini dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada tujuh anggota termasuk seorang ketua.

Selain membantu jemaah tersasar, Lipan Bara turut membantu jemaah yang sakit di kawasan Masjidil Haram.

Katanya, terbaharu seorang jemaah wanita warga emas yang terseliuh di kawasan Masjidil Haram dibantu anggota Lipan Bara sehingga pulang dengan selamat ke bangunan penginapan.

Pasukan Lipan Bara juga bersedia dalam sebarang situasi termasuk menyimpan kain ihram sekiranya perlu menghulurkan bantuan kepada jemaah yang menghadapi kesulitan di kawasan Kaabah.

Nama Lipan Bara digunakan lebih sedekad lalu, diinspirasikan daripada pergerakan berbaris anggota yang berpakaian merah dan bergerak serentak menyerupai lipan merah menyala. – Sinar Harian