
M Update, 27/05/2025 – Hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ASEAN dengan rakan strategik merentas pelbagai bidang.
Perbincangan turut tertumpu kepada agenda memastikan badan serantau itu terus berperanan lebih besar dalam landskap geoekonomi Indo-Pasifik.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata dua agenda tumpuan hari ini adalah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kedua dan Sidang Kemuncak trilateral ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan.
Tumpuan utama hari ini ialah pengukuhan kerjasama ASEAN bersama rakan strategik menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC kedua dan Sidang Kemuncak trilateral ASEAN-GCC-China buat julung kalinya.
Kedua-dua sidang ini akan membincangkan langkah konkrit untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan, selaras aspirasi ASEAN untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap geoekonomi Indo-Pasifik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) Bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang disiarkan melalui Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Selain itu, hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ akan turut menyaksikan penganjuran beberapa lagi agenda penting.
Ini termasuk Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) Ke-16 dan Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Katanya, penganjuran kedua-dua sidang itu bermatlamat memperkemas agenda pembangunan subrantau dan mengukuhkan keterhubungan rentas sempadan dalam kalangan negara terbabit.
Tunku Nashrul berkata, sidang yang bakal berlangsung hari ini adalah lanjutan kepada momentum positif yang dicapai semalam.
Ia turut dijangka memperkukuh peranan Malaysia dalam mengetuai agenda kerjasama strategik ASEAN bersama rakan serantau dan global.
Dengan tumpuan kepada sidang penting seperti ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk) dan ASEAN-GCC-China serta kerjasama sub-rantau melalui BIMP-EAGA dan IMT-GT, Malaysia komited untuk memastikan bahawa kepengerusian ASEAN 2025 terus menghasilkan keputusan bermakna, berpaksikan prinsip dan memberi kesan langsung kepada rakyat ASEAN.
Melihat kepada kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini, kita harus berbangga mempunyai pasukan yang komited untuk mengharumkan nama negara dan membawa pulangan hasil terbaik buat rakyat keseluruhannya,” katanya semalam.
Tahun ini adalah kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015. – BH