Input your search keywords and press Enter.

Ganggu Ketenteraman Awam: 7 Buku Diharamkan Penerbitan

M Update, 28/05/2025 – Kerajaan mewartakan larangan terhadap tujuh buku yang dikenal pasti mengandungi kandungan yang mampu memudaratkan moral serta mengganggu ketenteraman awam.

Pengharaman itu dikuatkuasakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 15, 16 dan 17 April lalu melalui Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

KDN menerusi kenyataannya hari ini berkata, bahan bacaan yang disenaraikan sebagai dilarang ialah Love, Theoretically, Tuan Ziyad: Forbidden Love, Darlingku Mr. Cold Mafia, Mischievous Killer, Suhuf Abraham, Kougar 2, dan The American Roommate Experiment.

“Tindakan Perintah Larangan bawah Akta 301 ini merupakan satu mekanisme kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.

Dalam masa yang sama, masyarakat turut memperoleh pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum.

“Sebagaimana peruntukan bawah subseksyen 7(1) Akta 301, pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan kesemua hasil penerbitan yang disenaraikan dilarang secara mutlak di Malaysia,” maklumnya.

Lima daripada karya yang dikenakan sekatan itu dipercayai boleh memberi kesan negatif terhadap moral masyarakat, manakala Suhuf Abraham pula didapati berpotensi mencetuskan gangguan terhadap ketenteraman awam.

Mereka yang didapati memiliki penerbitan larangan tanpa alasan munasabah boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 mengikut subseksyen 8(1).

Manakala, bagi pelanggaran lebih serius seperti pengedaran atau penjualan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan bawah subseksyen 8(2).

KDN menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh penguatkuasaan dan pemantauan terhadap bahan terbitan, khususnya yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negara. – Buletin TV3