
M Update, 30/06/2025 – Hospital Pasir Gudang (HPG), sebuah hospital pakar baharu, akan mula beroperasi secara berperingkat mulai 1 Ogos ini bagi membantu mengurangkan beban kesesakan di hospital-hospital lain di negeri Johor.
HPG merupakan hospital pakar kelapan di Johor dengan kos keseluruhan sebanyak RM500 juta, dibina di kawasan seluas 20.6 hektar dan dilengkapi sebanyak 304 katil serta menyediakan 14 perkhidmatan kepakaran.
Selain itu , HPG juga merupakan hospital awam pertama di negara ini yang menyediakan 20 bilik rehat khas untuk doktor pakar (on-call suite), sebagai satu langkah memperkukuh kebajikan petugas kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 30 peratus operasi melibatkan perkhidmatan teras seperti Jabatan Kecemasan dan Trauma (A&E), Pembedahan, Pediatrik serta Obstetrik dan Ginekologi (O&G) akan dimulakan dalam fasa pertama.
Hospital ini dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang Julai 2026 dengan lebih 1,800 kakitangan terlibat.
Dr Dzulkefly berkata, pembangunan hospital berkenaan akan menjadi penanda aras baharu bagi fasiliti kesihatan awam negara, khususnya dalam aspek kelengkapan dan kepakaran.