Input your search keywords and press Enter.

Cuaca Kering dan Jerebu: Agong Nasihat Rakyat Berwaspada

Foto: Royal Press Office

M Update, 24/07/2025 – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada susulan keadaan cuaca kering ketika ini yang boleh meningkatkan risiko kebakaran dan jerebu.

Seri Paduka Baginda bertitah, keadaan itu juga menjejaskan kesihatan khususnya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas serta individu yang menghidap masalah pernafasan.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kesihatan diri serta memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari semasa ke semasa. Ini kerana keadaan cuaca panas dan kering boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat,” titah Seri Paduka Baginda menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sultan Ibrahim turut menitahkan agar pihak berkuasa mempertingkatkan rondaan dan pemantauan terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara negara.

Negara ketika ini dilanda jerebu dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka susulan beberapa titik panas dikesan di Sumatera, Indonesia seperti dilaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).