
M Update, 24/07/2025 – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan maut dipercayai akibat diserang beberapa ekor anjing liar di Kampung Orang Asli Sungai Buloh, pada Selasa.
Kejadian itu disedari oleh ibu bapa mangsa sekitar jam 8.15 pagi selepas pulang dari tempat kerja dan mendapati pintu rumah dalam keadaan terbuka. Mereka kemudian menemui mayat anak mereka pada jarak kira-kira 20 meter dari rumah.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pasangan Orang Asli terbabit segera membawa anak mereka ke Zon Merah, Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh.
Mangsa tiba di hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tiada sebarang tindak balas. Pegawai perubatan kemudiannya mengesahkan kematian mangsa pada jam 9.14 pagi semalam.
Hasil pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa mendapati terdapat kesan luka dan calar di beberapa bahagian badan termasuk kepala. Mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Menurut polis, mangsa dipercayai ditinggalkan di rumah bersama bapa saudaranya kerana ibu bapa mangsa bekerja. Ketika kejadian, mangsa dan bapa saudaranya sedang tidur di ruang tamu rumah.
Bapa saudara mangsa menyedari kehilangan kanak-kanak itu selepas terdengar jeritan ibu bapa mangsa dan mendapati mangsa tidak berada di sebelahnya selain pintu rumah dalam keadaan terbuka.
Berdasarkan laporan yang diterima daripada bapa mangsa, mayat anaknya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dikelilingi beberapa ekor anjing.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian.
Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau dengan menghubungi Hotline Balai Polis Sungai Buloh di talian 03-6156 1222.
Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Aizad Abd Azik di talian 013-4861194.