
M Update, 08/10/2025 – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyumbangkan telefon bimbit baharu kepada 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza sebagai tanda penghargaan.
Beliau berkata, sumbangan kecil itu bagi memudahkan urusan komunikasi serta membolehkan mereka terus berkongsi pengalaman misi dengan lebih efisien, selain menghargai jasa mereka mewakili negara dan menyalurkan maklumat sepanjang misi berlangsung.
Selain Fahmi, ketibaan kumpulan sukarelawan itu disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta ahli keluarga.
Penerbangan Emirates EK342 yang membawa kesemua 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat orang dari kapal pemerhati serta lima peguam mendarat pada 10.07 malam, Selasa.

Pada 2 Okt, rejim Israel telah memintas kesemua 42 kapal misi kemanusiaan GSF ke Gaza dan menahan 495 aktivis termasuk 23 aktivis Malaysia, yang kemudian dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Okt.
Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menggantikan telefon bimbit kepada 23 sukarelawan GSF yang terpaksa dibuang ke laut mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang dilatih sebelum pelayaran.
SOP tersebut adalah langkah berjaga-jaga sekiranya kapal ditahan tentera Israel dengan semua delegasi telah menerima taklimat dan latihan praktikal sebelum memulakan misi kemanusiaan mereka.