Input your search keywords and press Enter.

Perlu Akur Titah YDPA

M Update, 27/02/2024 – Penegasan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menitahkan semua pihak menghormati pembentukan Kerajaan Perpaduan sebagai parti mentadbir negara ketika ini adalah satu isyarat jelas dan jitu khususnya kepada pembangkang supaya berhenti main politik atau menggerakkan usaha bagi menggulingkan kerajaan.

Apa yang ditegaskan Sultan Ibrahim sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan juga memenuhi prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, yang penting untuk mengekalkan kestabilan politik dan amalan demokrasi Malaysia.

Titah baginda juga sepatutnya dipegang erat seluruh Ahli Parlimen sama ada anggota kerajaan atau pembangkang supaya menumpukan usaha bersama ke arah pemulihan ekonomi, mewujudkan kesejahteraan dan kemakmuran hidup rakyat yang ketika ini berdepan cabaran kenaikan kos sara hidup, peningkatan harga barang serta inflasi.

Dalam tempoh kira-kira empat tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan, Ahli Parlimen dan pemimpin pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri sebaiknya memainkan peranan lebih positif bagi mengukuhkan kembali asas negara yang ketika ini berdepan cabaran ekonomi global dan domestik terutama kejatuhan nilai ringgit.

Pemimpin politik dan Ahli Parlimen sepatutnya memahami realiti sebenar sedang dihadapi rakyat ketika ini yang kian tersepit dengan pelbagai masalah untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat inflasi, perubahan sistem cukai dan kejatuhan nilai ringgit.

Ketepikan segala perbezaan, perseteruan dan percanggahan atau lakukan gencatan politik bagi memulihkan semula ekonomi negara manakala kerajaan pula tidak berlengah merangka dan melaksana strategi pemulihan serta pengukuhan ekonomi jangka pendek serta panjang untuk meningkatkan semula kemakmuran dan kelestarian hidup rakyat di sebalik berdepan pelbagai tekanan dihadapi.

Kestabilan politik penting sebagai prasyarat Malaysia terus membangun dan berdaya saing. Ia membolehkan negara kekal makmur, aman dan harmoni, sekali gus kerajaan dapat menumpukan perancangan serta pelaksanaan dasar memulihkan ekonomi susulan kelemahan ringgit ketika ini.