
M Update, 12/11/2025 – Penyerang Negeri Sembilan FC, Luqman Hakim Shamsudin, kembali dipanggil semula menyertai kem latihan Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 18 November ini.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi pasukan kebangsaan Malaysia NT pada Selasa, bekas pemain muda sensasi negara itu akan mengisi kekosongan ditinggalkan pemain Kuching City FC Jordan Mintah.
Luqman Hakim Shamsudin dipanggil menyertai kem latihan berpusat menggantikan Jordan Mintah yang terpaksa meninggalkan kem atas faktor kesihatan,” menurut hantaran ringkas itu.
Kali terakhir pemain berusia 23 tahun itu menyarung jersi pasukan kebangsaan adalah ketika aksi persahabatan menentang Singapura pada Mac 2022.
Skuad Harimau Malaya memulakan kem latihan pusat pada Isnin hingga 17 Nov sebagai persediaan menghadapi Nepal pada aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.
Malaysia menewaskan Nepal 2-0 pada aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Mac lepas.
Pasukan bimbingan Peter Cklamovski kini selesa mendahului kumpulan dengan rekod sempurna selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut, termasuk menewaskan pencabar terdekat Vietnam 4-0 pada Jun lepas.
Ketika ini, Malaysia kekal dengan 12 mata, diikuti Vietnam (9 mata), Laos (3 mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.
Hanya juara kumpulan layak ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi bermula Januari 2027.