Input your search keywords and press Enter.

Isu Bot Karam di Langkawi: “Kalau Tak Tolong, Itu Zalim” – Saifuddin

M Update, 11/11/2025 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan pendirian untuk tidak bertolak ansur terhadap sebarang cubaan menceroboh perairan negara, sama ada melibatkan pendatang asing tanpa izin atau kegiatan pemerdagangan manusia.

Namun, menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sekiranya berlaku insiden kapal karam di perairan Malaysia, keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan keselamatan semua mangsa terlibat.

Saifuddin menjelaskan bahawa kerajaan tidak membenarkan kemasukan pendatang asing ke perairan negara, namun jika berlaku insiden seperti kapal karam, keutamaan adalah untuk menyelamatkan mangsa terlebih dahulu. Beliau menegaskan tindakan membiarkan mangsa mati dalam keadaan sedemikian dianggap zalim.

Menurutnya, usaha penyelamatan kini dilakukan secara besar- besaran melibatkan aset besar-besaran termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), polis marin dan Jabatan Perikanan, bagi memastikan mangsa yang terselamat atau mayat yang dihanyutkan ke perairan negara dapat diuruskan dengan segera.

Kawasan pencarian tertumpu seluas 250 batu persegi, dengan fokus utama pada jarak empat hingga lima batu nautika dari Pantai Tanjung Cincin, Langkawi.

Beliau menambah, kerjasama serantau turut diperluaskan dengan pihak berkuasa Thailand yang dilaporkan menemui sejumlah mayat, membolehkan maklumat dikongsi untuk mempercepat proses identifikasi mangsa.

Saifuddin menjelaskan bahawa walaupun insiden kapal karam berlaku di luar perairan negara, tanggungjawab Malaysia tetap untuk menyelamatkan mangsa kerana mayat atau mangsa yang dihanyutkan telah sampai ke perairan negara.

Sejak semalam, kita menemui lima mayat tambahan, selain 20 yang telah ditemui sebelum ini. Usaha pencarian masih diteruskan,” ujarnya.

Mengulas mengenai mangsa yang selamat, Saifuddin berkata, siasatan akan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sumber: Sinar Harian