Input your search keywords and press Enter.

Asmah Masih Dirawat di Mekah, RM500,000 Diperlukan Segera

Mohd Na’im

M Update, 13/11/2025 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, jumlah sekitar RM500,000 diperlukan untuk membawa pulang jemaah haji Malaysia, Asmah Mansor, 71, yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Saudi German, Mekah.

Beliau berkata kutipan derma bagi tujuan itu telah dilancarkan melalui Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Yayasan Waqaf Malaysia.

Berdasarkan maklumat daripada doktor pakar di Arab Saudi dan pasukan perubatan Tabung Haji, anggaran kos membawa pulang Hajah Asmah ke tanah air mencecah RM500,000,” katanya selepas merasmikan Kelas Bimbingan Fardu Ain (KAFA) Orang Kurang Upaya (OKU) Pekak 2025, semalam.

Bayangkan, hampir empat bulan Hajah Asmah berada di negara orang, jauh daripada keluarga dan tidak tahu berbahasa Arab. Hanya warga kerja Tabung Haji yang datang sekali-sekala memberi semangat kepadanya,” katanya.

Rakyat Malaysia diseru untuk bersama-sama menyumbang bagi membantu membawa pulang Asmah ke tanah air sebagai satu bentuk amal jariah.

Semalam, Mohd Na’im berkata jemaah itu disahkan menghidap pneumonia dan sedang menerima rawatan di Saudi German Hospital sejak 13 Sept lepas.

Beliau turut memaklumkan Asmah telah menyempurnakan ibadah haji sebelum dimasukkan ke hospital dan kini masih memerlukan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan.