Input your search keywords and press Enter.

Usaha Membanteras Rasuah Jadi Fokus Utama Kerajaan – PM

M Update, 17/11/2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kerajaan memberi keutamaan yang sangat tinggi dalam usaha memerangi rasuah, khususnya kes berskala besar yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.

Beliau turut menyebut tindakan tegas yang diambil pentadbirannya terhadap kartel dan sindiket penyeludupan di Pelabuhan Klang, yang didakwa telah beroperasi selama bertahun-tahun tanpa tindakan sewajarnya sebelum ini.

Menurutnya, sebaik sahaja menerima laporan mengenai kegiatan tersebut, kerajaan terus melancarkan operasi agresif, sehingga berjaya membuat rampasan bernilai RM15.5 bilion dan mendakwa beberapa individu yang terlibat.

Anwar menegaskan bahawa segala tindakan membanteras rasuah tetap tertakluk kepada bukti kukuh dan keperluan undang-undang, selain menolak dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan mengabaikan komitmen memerangi rasuah hanya kerana bekerjasama dengan parti-parti yang pernah dikaitkan dengan skandal.

Beliau berkata, banyak tuduhan yang tular hanya bersandarkan rakaman video atau dakwaan umum tanpa asas, sedangkan tindakan undang-undang hanya boleh diambil selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan wujud kes yang boleh dibawa ke mahkamah.

Malah, katanya, kerajaan tidak pernah menghalang sebarang siasatan terhadap mana-mana individu, termasuk tokoh politik berpengaruh.

Perdana Menteri turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang mempertahankan individu kaya atau berpengaruh yang terlibat dalam kes besar kerana mempunyai motif tersendiri.

Menurutnya, rasuah kini bersifat sistemik dan memerlukan gabungan tindakan tegas, penambahbaikan penguatkuasaan serta perubahan budaya kerja. – Bernama