
M Update, 07/01/2026 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menegaskan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang salah laku atau pelanggaran disiplin susulan dakwaan membabitkan aktiviti tidak bermoral di salah sebuah pangkalannya.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan dan tindakan sewajarnya akan dikenakan ke atas mana-mana individu yang didapati bersalah.
Menurut beliau, kepimpinan TUDM memandang serius isu berkenaan serta menzahirkan kekesalan terhadap kejadian itu, selain menegaskan bahawa setiap bentuk salah laku akan ditangani mengikut peraturan perkhidmatan yang ditetapkan.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti tidak bermoral di dalam kawasan pangkalan udara adalah dilarang sama sekali kerana boleh menjejaskan imej dan maruah TUDM.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan mengarahkan supaya siasatan dalaman segera dijalankan susulan dakwaan yang tular di media sosial melibatkan beberapa kem tentera.
Kementerian itu memaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diarahkan melaksanakan siasatan menyeluruh bagi menilai kesahihan dakwaan berkenaan.
Dakwaan tersebut berpandukan kepada beberapa rakaman video dan gambar yang memaparkan wanita berpakaian mencolok mata, disifatkan menyerupai pakaian kelab malam, dibawa masuk ke dalam kawasan pangkalan tentera serta berada di sebuah bar yang dipercayai terletak dalam kem berkenaan.
Selain itu, turut timbul dakwaan penganjuran acara berbentuk ‘parti’ dengan membawa wanita ke dalam kawasan kem.
Bagaimanapun, kesemua video dan gambar yang tular itu masih belum disahkan kesahihannya.