
M Update, 27/01/2026 – Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan ujian diagnostik khas bagi kemasukan murid berusia enam tahun ke Darjah Satu, bagi mengelakkan beban tambahan serta memudahkan pelaksanaan sistem pendidikan sedia ada.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut dibuat setelah meneliti pandangan daripada pelbagai pihak, di samping menekankan kepentingan pemantauan berterusan terhadap perkembangan murid menerusi peranan guru dan ibu bapa.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan memaklumkan bahawa ujian saringan diagnostik khas dirancang untuk menilai kelayakan kanak-kanak memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun bermula sesi persekolahan 2027.
Menurutnya, hanya kanak-kanak yang memenuhi syarat dan melepasi kriteria ditetapkan selepas menduduki ujian berkenaan akan dipilih untuk kemasukan tersebut.
Sementara itu Anwar menegaskan, pelaksanaan ujian penilaian Darjah Empat membolehkan pihak berkepentingan mempunyai tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk melakukan penambahbaikan sebelum murid melangkah ke Tingkatan Satu. – Sinar Harian