Skim Lindung 24/7 Dijangka Bermula Suku Kedua Tahun Ini

M Update, 27/01/2026 – Skim Lindung 24/7 yang diperkenalkan susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 di Parlimen pada bulan lalu dijangka mula dilaksanakan seawal suku kedua tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, pelaksanaan skim berkenaan perlu dirancang secara teliti bagi memastikan faedahnya dapat dinikmati oleh semua pekerja serta rakyat di negara ini.
Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 2 Disember lalu antaranya bertujuan memperkenalkan Skim Lindung 24/7, iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja pada setiap masa termasuk di luar waktu bekerja, yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 10 juta pekerja formal di seluruh negara.
Pelaksanaan skim ini bertujuan mengelakkan keadaan di mana ribuan keluarga terpaksa menanggung sendiri kos rawatan serta perbelanjaan pemulihan apabila kemalangan berlaku di luar waktu kerja.

