
M Update, 09/02/2026 – Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa susulan maklum balas orang ramai, kerajaan menambah baik kemudahan pembelian di bawah inisiatif SARA dengan memperluaskan kategori barangan termasuk makanan sejuk beku, menjadikan keseluruhan 15 kategori yang dibenarkan.
Penambahbaikan itu turut meningkatkan jumlah barangan yang layak dibeli kepada kira-kira 140,000 jenis barangan.
Selaras dengan Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan menyasarkan sebanyak 10,000 kedai runcit kecil menyertai program Rakan Niaga SARA menjelang akhir tahun ini, selain mengurangkan jarak kedai runcit terdekat daripada 10 kilometer kepada tujuh kilometer.
Orang ramai boleh menyemak status pengkreditan serta soalan lazim (FAQ) menerusi portal rasmi SARA di https://sara.gov.my.
Dalam masa sama, MoF mengingatkan penerima supaya sentiasa berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan, serta menegaskan kementerian tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp. Sebarang maklumat rasmi hanya boleh dirujuk melalui portal rasmi STR.
Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua mula disalurkan hari ini dengan peruntukan berjumlah RM2.2 bilion, memberi manfaat kepada lebih 22 juta warganegara Malaysia dewasa pemegang MyKad, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, kementerian memaklumkan bahawa setiap penerima akan menerima RM100 secara sekali bayar (one-off), yang boleh digunakan sehingga 31 Disember 2026.