Kes Rempuhan Depan Surau Sekolah: Guru Dibawa Ke Mahkamah

Foto: BH

M Update, 13/04/2026 – Seorang guru wanita yang disyaki merempuh dua pelajar di hadapan surau sebuah sekolah hingga menyebabkan seorang pelajar Tingkatan Satu maut tengah hari semalam, dibawa ke mahkamah pagi ini.

Wanita berusia 57 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.40 pagi dengan menaiki trak polis dan memakai pakaian lokap.

Difahamkan, suspek akan menjalani proses reman di Mahkamah Majistret bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, media melaporkan insiden berkenaan mengorbankan seorang pelajar Tingkatan Satu, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah selepas dilanggar kenderaan yang dipandu wanita terbabit di hadapan surau sekolah tersebut.

Siasatan awal mendapati pemandu wanita dipercayai tertekan pedal minyak kenderaan lalu terbabas sebelum melanggar dua pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas.

Jenazah Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, selamat dikebumikan, 9 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Gayong dekat Taman Uda Murni di sebelah pusara ibunya, Siti Maheran Noor yang meninggal dunia, lima tahun lalu.