JPJ Siasat Insiden Pemandu Bas Didakwa Biarkan Wanita Pegang Stereng

M Update, 13/04/2026 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memulakan siasatan berhubung penularan video yang memaparkan seorang pemandu bas ekspres didakwa memandu dalam keadaan tidak selamat apabila seorang wanita dilihat duduk di atas ribanya.
Rakaman yang dipercayai diambil oleh penumpang menunjukkan wanita berkenaan memegang stereng ketika berada di atas riba pemandu, walaupun bas sedang bergerak. Satu lagi video yang dipercayai dirakam melalui kamera pemuka kenderaan lain turut menunjukkan bas tersebut berada dalam aliran trafik.
Menurut perkongsian di Facebook, bas ekspres berkenaan dipercayai sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Kulai, Johor ketika kejadian berlaku.
JPJ bertindak pantas selepas video tersebut menjadi tular. Pemandu dan syarikat bas yang terlibat telah dikenal pasti, dan pemandu berkenaan telah dipanggil untuk memberi keterangan pada pagi ini.
