Flat Tular Dikaitkan Dengan Warga Asing, Polis Dedah Punca Sebenar

M Update, 10/06/2026 – Polis mengesahkan bangunan yang didakwa dibina secara haram oleh warga asing di Kampung Kenangan, Sungai Makau, Hulu Langat sebenarnya didiami oleh dua keluarga warga tempatan yang terdiri daripada pemilik dan penyewa.

Menurut pihak polis, operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Selangor di kawasan berkenaan pada Februari tahun lalu berjaya menahan 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Sebelum ini, sebuah laporan media mendakwa etnik Rohingya membina penempatan menyerupai flat empat tingkat secara tidak sah di lokasi tersebut.

Perkara itu mula mendapat perhatian selepas penyampai radio dan pelakon terkenal, Azad Jasmin atau lebih dikenali sebagai Pak Azad, memuat naik rakaman video yang menunjukkan kewujudan bangunan berkenaan ketika beliau melalui kawasan itu.

Polis memaklumkan pelbagai tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan operasi telah dilaksanakan oleh agensi berkaitan bagi menangani isu tersebut.

Hasil siasatan mendapati antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah itu ialah tindakan segelintir pemilik tanah yang membenarkan kawasan milik mereka digunakan sebagai penempatan serta pembinaan struktur tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Malah, penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik turut didapati memudahkan pembinaan serta penempatan haram berkenaan, sekali gus menyukarkan usaha penguatkuasaan yang dijalankan oleh agensi kerajaan.