Kes Bayi Dicampak Dari Flat: Wanita Mengaku Bersalah

M Update, 04/06/2026 – Seorang wanita berusia 22 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi perempuannya yang baru dilahirkan dalam kejadian di sebuah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Skudai, bulan lalu.
Tertuduh, Nuran Batrisya Jamaludin, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan perbuatan yang mengakibatkan kematian bayi perempuan berkenaan di kawasan tempat letak kenderaan PPR tersebut antara jam 11 pagi hingga 2.30 petang pada 20 Mei lalu.
Kes dikendalikan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 Julai depan bagi serahan dokumen, mendapatkan laporan bedah siasat dan keputusan berkaitan hukuman.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh yang turut mempunyai seorang lagi bayi yang merupakan kembar kepada mangsa.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin serta menetapkan syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita ditahan polis selepas dipercayai mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkan dari tingkat 10 sebuah rumah pangsa dalam kejadian yang berlaku pada Mei lalu.

