Abang Johari Dijangka Umum Pembubaran DUN Sarawak Petang Ini

M Update, 23/10/2026 – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dijangka mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada petang ini, sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pengumuman itu dijadualkan berlangsung menerusi sidang media khas pada jam 3.30 petang di Dewan Perdana, Aras 1, Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya.
Pejabat Premier Sarawak menerusi surat jemputan kepada pihak media pagi ini memaklumkan bahawa sidang media berkenaan akan diadakan selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dijadual berlangsung selepas solat Jumaat.
Perkembangan itu menjadi perhatian ramai susulan spekulasi mengenai pembubaran DUN Sarawak yang semakin hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Sekiranya pembubaran diumumkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh penamaan calon serta hari pengundian berdasarkan tempoh dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, menyatakan bahawa PRN Sarawak berkemungkinan diadakan pada Disember ini, dengan 12 atau 19 Disember antara tarikh yang dipertimbangkan.
DUN Sarawak ketika ini mempunyai 82 kerusi, menjadikannya badan perundangan negeri dengan jumlah kerusi terbesar di Malaysia.
Jumlah itu dijangka bertambah kepada 99 kerusi susulan kelulusan SPR terhadap persempadanan 17 kawasan pilihan raya baharu yang telah diputuskan oleh DUN Sarawak.
PRN Sarawak terakhir berlangsung pada 18 Disember 2021, dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh kemenangan besar apabila memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
