M Update, 5/8/2019 – Seorang anggota polis menerima enam jahitan selepas ditetak ketika cuba meleraikan pergaduhan dalam satu upacara keagamaan di Kuil Kaliamma Bestari Jaya, Sungai Darah, Kuala Selangor dekat sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, seorang orang awam turut dilaporkan putus sebahagian tapak tangan kiri akibat ditetak dengan parang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata pergaduhan itu tercetus ketika perarakan Chariot (keagamaan) sedang berlangsung sebelum dua kumpulan bertengkar mengenai pemasangan khemah. Bermula dengan pertengkaran mengenai pemasangan khemah, ia kemudian membawa kepada pergaduhan menggunakan senjata parang.
“Pihak polis yang bertugas di situ cuba mententeramkan keadaan dan membuat tangkapan namun turut diserang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, anggota polis dari Balai Bestari Jaya berusia 34 tahun itu cedera di belakang tapak tangan kiri sehingga terpaksa diberikan enam jahitan. Seorang orang awam yang tercedera dalam pergaduhan itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan. Kita percaya kes ini bermotifkan pergaduhan antara dua geng berpunca daripada rasa tidak puas hati yang timbul berhubung kerja pemasangan khemah,” katanya.
Setakat ini katanya, 28 suspek sudah ditangkap sejak malam tadi hingga awal pagi ini dan lima bilah parang turut dirampas. Permohonan reman akan dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret Kuala Selangor. Pemburuan baki suspek yang lain kini sedang dijalankan,” kata beliau yang turut memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 kanun sama. – BH Online