Input your search keywords and press Enter.

Korbankan nyawa demi lindungi bayi

Gambar Hiasan

M Update, 05/08/2019 – Seorang ibu mengorbankan nyawa demi melindungi bayi lelakinya berusia dua bulan antara 20 mangsa yang maut ditembak pengganas kulit putih dalam kejadian serangan terburuk Amerika Syarikat di pasar raya Walmart, El Paso, Texas, semalam.

Leta Jamrowski, 19, berkata, kakaknya, Jordan Anchondo, 25, antara mangsa yang terbunuh akibat tembakan raifal automatik Patrick Crusius, 21, ketika mangsa singgah di pasar raya itu untuk membeli barang keperluan.

Menurutnya, kakaknya yang mempunyai tiga anak itu berkemungkinan cuba melindungi bayinya yang berusia dua bulan ketika ditembak.

Leta berkata, bayi itu terselamat tetapi cedera patah tulang dan dirawat di sebuah hospital di El Paso.

Crusius, yang tinggal di Allen, Texas, 1,000 kilometer dari pasar raya itu, melepaskan tembakan selama 20 minit sebelum menyerah diri kepada polis.

Selain 20 mangsa terbunuh, serangannya itu juga menyebabkan sekurang-kurangnya 26 lagi cedera dengan sembilan daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.

Mangsa yang terbunuh berusia antara empat bulan hingga 82 tahun, termasuk tiga rakyat Mexico.

Kira-kira 19 minit sebelum serangan itu, Crusius memuat naik di media sosial manifesto anti-pendatang, mengagungkan kebangkitan kulit putih serta menyokong serangan terhadap dua masjid di New Zealand.

Manifesto sepanjang 2,300 perkataan dikarang Crucius menyentuh mengenai ‘pencerobohan etnik Hipanic di Texas’, cadangan lengkap menempatkan etnik minoriti di wilayah berasingan serta percaya kekuasaan kulit putih akan lenyap.

“Saya tidak boleh bertangguh lagi, Saya mungkin mati hari ini,” tulisnya dalam ruangan komen selepas memuat naik manifesto bertajuk ‘The Inconvenient Truth.’

Manifesto itu bermula dengan sokongan serangan terhadap dua masjid di Christchurch oleh Brenton Tarrant pada 15 Mac lalu, menyebabkan 51 jemaah, termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh.

Manifesto itu mengisytiharkan serangan di El Paso adalah ‘pembalasan terhadap pencerobohan etnik Hispanic di Texas.’

Media Amerika melaporkan, rekod awam menunjukkan alamat terakhir Crusius ialah rumah keluarganya di Allen, Texas, dekat Dallas dan sembilan jam memandu ke El Paso.

Selepas tamat sekolah tinggi, Crusius memasuki Kolej Collin di McKinney, Texas dan dipercayai masih menjadi pelajar di kolej itu.


Leave a Reply