M Update, 14/2/2020 – Jumlah kes yang direkodkan setakat ini berhubung penyebaran berita palsu mengenai wabak koronavirus (Covid-19) di media sosial meningkat kepada 26 kes.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Risikan dan Operasi), Datuk Mohd Roze Shaari berkata, terbaharu, pihaknya menerima tiga lagi laporan iaitu dua di Kuching dan Miri, Sarawak dan satu lagi di Temerloh, Pahang. Ia menunjukkan peningkatan tiga lagi kes sejak Rabu lalu.
“Isu ini serius dan semua pihak diminta supaya tidak menularkan berita palsu bagi mengelakkan tindakan tegas diambil mengikut undang-undang. Setakat ini, tiga kes telah dituduh di mahkamah masing-masing di Kuala Lumpur, Terengganu dan Sabah,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Tegasnya, beliau mengingatkan orang ramai untuk tidak berkongsi sebarang kenyataan ataupun artikel tidak sahih berkaitan dengan jangkitan virus terbabit.
Pada 5 Februari lalu, seorang wartawan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga tuduhan membuat kenyataan mengenai penularan Covid-19 di laman Facebook miliknya pada Januari lalu. Wan Noor Hayati Wan Alias, 41, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.
Sementara itu, pada 6 Februari, seorang penjual santan didakwa menyebarkan berita palsu berkaitan coronavirus di Mahkamah Majistret di sini, hari ini. Kenyataan yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook Gabungan Anak Terengganu (GATE) Original itu dibuat di sebuah rumah di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, di sini, jam 8.22 pagi, pada 27 Januari lalu menggunakan akaun Facebook Ali Dapicey. – SH Online