Input your search keywords and press Enter.

PDRM : Elak Provokasi Ketika Perarakan Sempena Thaipusam

M Update, 5/2/2020 – Polis memberi amaran kepada mana-mana individu yang cuba menimbulkan provokasi dan kekecohan ketika perarakan pedati Perak sempena perayaan Thaipusam, bermula esok.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Superintendan S Shanmugamoorthy Chinniah, berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang berniat menimbulkan kekacauan.

Katanya, ia bagi memastikan perarakan yang bermula jam 10 malam itu berjalan lancar dan semua pihak dinasihatkan menjaga sensitiviti kaum.

“Berdasarkan pengalaman lalu, kami mendapati ada pihak melakukan kesalahan seperti membuat bising dan minum arak di tempat terbuka.

“Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas bagi kesalahan itu mengikut peruntukan undang-undang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, perarakan rombongan ke Kuil Sri Maha Mariamman dijangka memasuki laluan dan kawasan pentadbiran Sentul antara jam 4 atau 5 pagi Khamis ini.

“Kawalan keselamatan di pihak kami (Sentul) bermula di laluan Jalan Tun Razak berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maxwell menuju Jalan Sultan Azlan Shah, persimpangan pekan Batu 5 Jalan Ipoh, Jalan Kuching hingga ke Bulatan Batu Caves.

“Bagi perarakan pulang yang dijangka antara 6 petang hingga 10 malam pada Ahad ini, ia membabitkan laluan sama kecuali berlaku lencongan di Jalan Sultan Azlan Shah berhampiran Jalan Batu Kentomen dan (rombongan) akan keluar ke SMK (Perempuan) Jalan Ipoh,” katanya.

Beliau berkata, penutupan jalan dan lencongan turut membabitkan kerjasama pihak Kuil Sri Maha Mariamman, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Stesen Transit Aliran Massa (MRT) susulan laluan itu membabitkan kawasan pembinaan MRT di Batu Kentomen.

Katanya, seramai 700 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur ditugaskan bagi melakukan kawalan dan menjaga keselamatan ketika perarakan perayaan itu. – BERNAMA

Leave a Reply