M Update, 14/5/2020 – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera akibat letupan mercun bola berhampiran rumahnya di Besut, dekat sini, kira-kira jam 9.15 malam tadi.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan.
“Mangsa dikatakan memegang mercun tersebut dengan tangan kanan dan menyalakan sumbunya menggunakan tangan kiri sebelum ia meletup tiba-tiba.
“Mangsa dikejarkan ke Hospital Besut oleh keluarganya sebelum dibawa ke HUSM dan hasil pemeriksaan mendapati keadaan mangsa adalah stabil dengan kesan melecur dan luka di jari telunjuk, jari tengah dan jari manis di tangan kanan,” katanya.
Difahamkan, ini adalah kes pertama kecederaan akibat mercun pada Ramadan tahun ini. – BERNAMA